Saturday, February 2, 2019

Tergamaknya ayah...

TERTEKAN anak tidak mendengar kata, tambahan isterinya sedang sarat mengandung menyebabkan seorang lelaki hilang pertimbangan apabila tergamak memukul anak lelakinya dengan penyangkut baju, Rabu lalu.

Bagaimanapun perbuatan lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar selepas guru tadika sekolah anaknya di Persiaran Utama, di Kulim, melihat mangsa berusia lima tahun itu dalam keadaan lesu, batuk dan terdapat kesan lebam di muka ketika hadir ke tadika semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, gurunya kemudian bertanya kepada mangsa sebelum dia memberitahu dipukul bapanya ketika berada di rumah mereka di Kulim Hitech Park, Kulim.

Menurutnya, gurunya membuat pemeriksaan sebelum mendapati terdapat kesan lebam di belakang badan, tangan, muka dan punggung.

“Bimbang dengan keadaan mangsa, dia kemudian membawa kanak-kanak itu ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan polis.

“Susulan itu, polis kemudian menahan bapa mangsa pada 5.45 petang semalam untuk tindakan selanjutnya,” katanya, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, siasatan awal suspek mengaku memukul anaknya menggunakan penyangkut baju plastik kerana mangsa nakal dan tidak mahu mendengar kata.

“Suspek yang ditahan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara anaknya kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Harian Metro

No comments:

Post a Comment