Thursday, February 28, 2019

Kanak-kanak dilanggar datuk hembus nafas terakhir jam 3.00 petang semalam


KUCHING: Beberapa jam selepas bertarung nyawa akibat dilanggar pacuan empat roda milik datuknya, kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan dari Kampung Sejijak di sini menghembuskan nafas terakhirnya semalam.

Aqisha Laura Aisyah Mohd Nasreen Adam meninggal ketika mendapatkan rawatan sekitar jam 3.00 petang semalam.
Semalam, kanak-kanak malang ini segera dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak oleh datuknya, selepas ditemui terkulai tidak sedarkan diri di bawah pacuan empat rodanya.

Dalam keadaan tidak bernafas, tindakan segera
anggota paramedik HUS sekitar jam 9.30 pagi berjaya menyedarkannya yang cedera parah di kepala.

Menurut saksi, yang juga keluarga terdekat, mangsa sebelum itu dikatakan sempat mengucapkan selamat tinggal kepada datuknya sebelum dia ke tempat kerja dan kanak-kanak terbabit dilihat berlari masuk ke dalam rumah.

Bagaimanapun ketika hendak memulakan perjalananan, datuk mangsa berasa seperti terlanggar sesuatu di bawah keretanya.
Dia kemudian berlari keluar dan terkejut melihat cucunya terkulai di bawah kereta dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Datuk malang tersebut segera mengangkat cucunya itu dan mengejarnya ke HUS,” katanya.

Mangsa menerima rawatan di Wad Pediatrik, Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak HUS sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Jenazah kanak-kanak ini akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gita pagi ini.

Sarawak Voice

No comments:

Post a Comment