Wednesday, February 27, 2019
Bayi 28 hari maut dipercayai didera
BAYI perempuan berusia 28 hari meninggal dunia kelmarin dipercayai didera berikutan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan penderaan secara fizikal.
Ketua Polis Daerah Kota Samaharan Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan di Klinik 1Malaysia, Taman Samarindah, Kota Samarahan yang menerima bayi itu sebagai pesakit 3.15 petang, Isnin lalu.
“Ketika dihantar ke klinik terbabit oleh bapanya, mangsa sudah meninggal dan hasil pemeriksaan mendapati badan serta kaki bayi itu ada kesan lebam lama seperti dicubit, dicakar dan dipukul.
“Hujung jari kaki dan tangan bayi juga sudah kebiruan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Umum Sarawak (HUS) semalam mendapati ada kesan retakan pada tempurung kepala mangsa menyebabkan berlaku pendarahan dalaman.
Lee berkata, kedua-dua ibu bapa bayi itu sudah ditahan 1.30 tengah hari semalam di perkarangan Unit Forensik HUS.
“Bapanya berusia 29 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan direman selama tujuh hari.
“Perintah reman selama sehari pula diberikan kepada ibunya yang berusia 41 tahun dan bekerja sebagai pelayan kedai makan,” katanya sambil menambah bayi adalah anak ketiga pasangan terbabit.
Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Namun, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Harian Metro
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment