Saturday, February 16, 2019

SEMUA 47 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Kemboja sejak 11 Disember tahun lalu sudah dibebaskan

SEMUA 47 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Kemboja sejak 11 Disember tahun lalu sudah dibebaskan. - NSTP/Sumber
KUALA LUMPUR: Semua 47 rakyat Malaysia yang dipenjarakan di Kemboja sejak 11 Disember tahun lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram sudah dibebaskan.

Kementerian Luar ketika mengesahkan perkara itu berkata, semua tahanan yang ditempatkan di Penjara Provinsi Banteay Meanchey diisytiharkan bebas daripada pertuduhan dan dilepaskan pada jam 6.30 petang waktu tempatan (jam 7.30 malam waktu Malaysia).
“Kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen serta Timbalannya yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Prak Sokhonn, susulan keprihatinan mempertimbangkan isu penahanan ini.
“Penghargaan sama ditujukan kepada barisan Menteri Tugas Khas Kanan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Keadilan dan pihak berkuasa Kemboja yang berkaitan dalam menyalurkan kerjasama ke arah pembebasan 47 rakyat Malaysia.
“Kementerian turut menghargai nilai dan kerjasama ditunjukkan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan anggota Kerajaan Sarawak sehingga membawa kepada pembebasan awal kesemua tahanan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Kumpulan rakyat Malaysia yang ditahan adalah anak muda seawal usia 19 tahun hingga 44 tahun, selepas dikatakan ‘termakan’ taktik licik sindiket dengan menjadikan masyarakat daripada keluarga miskin di luar bandar sebagai sasaran utama.
Semua tahanan, termasuk 44 daripadanya anak muda Sarawak yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia didalangi dari China kemudian ditahan sebaik tiba di Poipet, Banteay Mancheay, dekat pinggir Phnom Penh, 11 Disember tahun lalu.
Kementerian menjelaskan, pihaknya bersama Kerajaan Sarawak kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Kemboja bagi menguruskan perjalanan pulang semua 47 rakyat Malaysia ke tanah air secepat mungkin.
“Sehubungan itu, kementerian ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya berhati-hati dalam mempertimbangkan sebarang peluang pekerjaan di luar negara, selain sentiasa
mengesahkan kesahihan majikan terbabit.
“Rakyat Malaysia seharusnya lebih peka dan mematuhi perundangan mana-mana negara luar yang mereka lawati,” katanya.-BH Online

No comments:

Post a Comment