Tuesday, February 19, 2019

Lelaki cedera lepaskan diri daripada bahaman buaya

SARIKEI: Kalau belum ajal, di mulut buaya pun masih dapat terlepas.
Itu pengalaman ngeri seorang pencari lokan dari Kampung Belabau Muara Lepa, Serdeng tengah hari semalam.

Menurut Peter Wee Chee Kiong, 20 tahun , ketika kejadian dia dan dua orang lagi rakan sudah selesai mencari lokan dan dua rakannya telah naik ke darat terlebih dahulu.
Manakala dia masih berada di dalam perahu dan sedang mencuci kaki dan kasut yang kotor berlumpur.
Ketika itulah seekor buaya tiba-tiba menyerang dan menggigit tangan kirinya.

Tersentak dengan serangan itu mangsa telah terhumban ke dalam air dan bahagian tepi perahunya pecah akibat libasan sang bedal itu.
Dalam keadaan terdesak mangsa bertarung nyawa sambil berenang ke tepi dalam keadaan tangan kirinya masih berada di mulut buaya.
Mangsa yang nyawanya bagi telur dihujung tanduk berjaya berenang ke kawasan cetek dan terus naik ke tebing. Dalam pergelutan di kawasan cetek itu buaya berkenaan telah melapaskan cengkaman pada tangan mangsa dan mangsa terus berlari ke daratan menyelamatkan diri.
Akibat serangan buaya itu mangsa mengalami kecederaan dan terpaksa dirujuk ke Hospital Sarikei pada hari itu juga.

Mangsa yang kini dirawat di Hospital Sarikei ketika ditemui berkata dia amat bersyukur kerana terlepas daripada jadi manga binatang ganas itu.
“Saya memang selalu cari lokan, ketam dan udang di sungai itu. Hari itu saya pergi bersama emak dan adik emak saya.
“Sungai itu sumber rezeki kami. Di situ tempat kami bergantung harapan untuk cari nafkah. Tak pernah buaya berlaku ganas… dulu-dulu lama sudah ada satu kes serangan buaya tapi dah lama. Ini yang terbaharu selepas beberapa tahun.

“Buaya itu saya anggarkan berukuran kira-kira 15 kaki panjang. Buaya itu memang selalu timbul. Itik dan anjing ternakan penduduk sudah kerap kali jadi mangsa buaya berkenaan, “ujarnya.
Rombongan dari Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang yang mewakili Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Haji Len Talif Salleh sempat melawat Peter Wee Chee Kiong, 20, mangsa serangan buaya di hospital pagi tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah semalam Peter nyaris maut apabila dia diserang buaya di kawasan sungai berhampiran rumahnya di Kampung Belabau, Muara Lepa, Serdeng.
Rombongan itu menyampaikan sumbangan untuk meringankan beban mangsa, wakil rombongan itu turut memberi kata-kata nasihat dan semangat kepada mangsa yang masih trauma dengan kejadian tersebut.

Sarawak Voice

No comments:

Post a Comment