Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan berkenaan amat penting kepada Sarawak dalam mempertingkatkan lagi Sarawak dari aspek destinasi pelancongan.
"Syarikat penerbangan Sarawak ini sebenarnya adalah cadangan lama kita dan pada ketika itu, kita mahu mengambil MASwings untuk tujuan berkenaan tetapi syarikat penerbangan Malaysia (MAS) enggan menjualnya kepada kita.
"Kini kita sudah ada beberapa pilihan untuk kita mempunyai penerbangan sendiri yang berskala kecil untuk menghubungkan Kuching dengan destinasi strategik lain di rantau ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan "Sarawak Aircraft Livery" pada kapal terbang AirAsia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, kerajaan sedang meneliti butiran lebih lanjut dan berharap pelaksanaan syarikat penerbangan dapat dilakukan dengan secepat mungkin.
Dalam cadangan sebelum ini, syarikat Hornbill Skyways antara yang dilihat berpotensi mengambil alih penerbangan untuk Sarawak.
"Hornbill (Skyways) telah berada dalam industri begitu lama dan mereka perlu diperluaskan operasinya termasuk operasi secara komersial," katanya.
Beliau berkata Sarawak perlu mempunyai syarikat penerbangan sendiri memandangkan pelancong dari luar lebih memilih untuk mengambil penerbangan terus ke destinasi yang dituju.
Katanya, sebelum ini Sarawak telah bekerjasama dengan penerbangan AirAsia untuk penerbangan terus seperti Kuching-Shenzhen (China) namun disebabkan kesukaran untuk mendapatkan slot masa, ia juga ditarik balik.
"AirAsia juga sukar mendapatkan slot masa yang sesuai untuk penerbangan ini dan kita mempunyai ramai pelancongan yang lebih memilik destinasi secara terus.
"Maka kita amat serius untuk meneliti syarikat penerbangan sendiri," katanya.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ahli Lembaga Pengarah AirAsia Datuk Aziz Abu Bakar
oleh Jessica Jawing
Utusan Borneo Online
No comments:
Post a Comment