LAWAS: Seorang penunggang motorsikal maut, manakala seorang pelajar perempuan parah apabila dirempuh sebuah pikap dalam kejadian di Jalan Lawas Damit, Kampung Batu Mulong, malam Selasa.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam itu menyebabkan mangsa, Lois Jabli, 26, dari Kampung Tang Itong maut di lokasi.
Manakala seorang lagi pelajar sekolah menengah Frences, 17, yang sedang duduk di perhentian bas, cedera kaki kanan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata hasil siasatan awal ditempat kejadian mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu pikap yang gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal yang datang dari arah bertentangan.
"Pemandu pikap datang dari arah Kampung Long Sebangan menuju ke Jalan Lawas Damit gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang datang dari arah bertentangan, sebelum merempuh pelajar perempuan yang berada di perhentian bas terbabit," katanya.
Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Lawas dan seterusnya ke Hospital Kota Kinabalu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
oleh
Mastura Ismail
No comments:
Post a Comment