Saturday, March 2, 2019

Wanita hamil lapan bulan antara ditahan AADK di Miri

Antara yang ditahan dalam operasi AADK pada malam Jumaat 

MIRI: Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan antara yang ditahan positif dadah bersama suaminya dalam operasi yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pada malam Jumaat.

Seramai 21 orang individu berusia lingkungan 22 hingga 48 tahun ditahan dalam dua operasi yang dijalankan di Piasau Utara dan Pujut 9 bermula pada pukul 11.15 malam hingga 12.30 tengah malam.

Daripada jumlah tersebut, 10 lelaki dan seorang wanita didapati positif dadah.

Timbalan Pengarah Pencegahan AADK Negeri Sarawak Yuliani Yahya yang mengetuai operasi berkata operasi diadakan bertujuan untuk mengesan penagih dan mengikhtiarkan usaha pemulihan melalui pusat pemulihan yang dikendalikan oleh AADK.

Operasi disertai AADK Miri, Bintulu dan Limbang, Pejabat Residen Bahagian Miri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Miri, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Pujut.

Operasi itu diadakan bersempena Program Jerayawara One Stop Committee (OSC) bagi menangani isu dadah sempena Bulan Anti Dadah Kebangsaan 2019 peringkat negeri Sarawak.

oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah
Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment