Anggota polis mengiringi suspek mendera kanak-kanak dua tahun sembilan bulan |
SEORANG wanita yang bekerja sebagai tukang sapu ditahan polis bagi membantu siasatan kes dera membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang berada di bawah jagaannya, di Limbang, Sarawak, kelmarin.
Difahamkan, penahanan suspek berusia 20 tahun itu dilakukan susulan laporan polis dibuat berkaitan penemuan pelbagai kesan kecederaan mencurigakan pada tubuh kanak-kanak malang itu ketika dimasukkan ke Hospital Limbang kerana pengsan malam kelmarin.
Sumber memberitahu, polis juga sedang memburu suami wanita terbabit selepas disyaki sering memukul mangsa yang juga anak saudara mereka.
“Ketika dimasukkan ke Hospital Limbang kira-kira jam 9 malam kelmarin, doktor yang merawat mangsa mendapati terdapat banyak kesan lebam pada tubuh kanak-kanak itu hingga menimbulkan rasa curiga.
“Perkara itu kemudian dimaklumkan kepada polis yang kemudiannya membawa kepada penahanan wanita terbabit di Hospital Limbang untuk membantu siasatan. Seorang lagi suspek yang juga suami kepada wanita itu sedang diburu,” katanya.
Katanya, mengikut maklumat diperoleh, kanak-kanak itu cedera akibat tergelincir di tepi sungai dan terhantuk pada batu sebelum dihantar ke Hospital Limbang untuk menjalani rawatan.
“Mangsa kini dipindahkan ke Hospital Miri untuk menjalani rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, ibu kandung mangsa ketika ini sedang menjalani hukuman penjara akibat penyalahgunaan dadah.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment