Tuesday, March 5, 2019

Emart Matang bebas tibi


KUCHING: Orang ramai tidak perlu khuatir untuk berkunjung ke Emart Matang kerana ia adalah selamat dan bebas daripada jangkitan penyakit tibi.
Jaminan ini diberikan Penolong Pengurus Kumpulan Pemasaran Emart, Alan Bong sambil menjelaskan perkara itu juga disahkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri baru-baru ini.
"Seramai 153 pekerja Emart Matang telah menjalani pemeriksaan kesihatan tibi baru-baru ini dan kesemua mereka didiagnosis bebas daripada penyakit tersebut," katanya pada sidang media di Emart Matang di sini, hari ini.
Beliau menambah Emart Matang juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Pusat Pakar Perubatan Normah untuk mengadakan ceramah kesedaran penyakit tibi dan pemeriksaan kesihatan percuma di Emart Matang 10 Mac nanti.
Ceramah kesedaran penyakit Tibi akan bermula dari pukul 2.30 petang untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan mengenai penyakit tibi dan kaedah pencegahan. 
Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyertai pemeriksaan kesihatan percuma dari 10 pagi hingga 2 petang.
Selain itu, ahli Emart turut diberi keistimewaan menikmati kadar khas untuk pemeriksaan tibi di Pusat Pakar Perubatan Normah dengan hanya menunjukkan kad keahlian.
Orang awam boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri di talian 082-473200 untuk penjelasan lanjut.

No comments:

Post a Comment