Gambar Hiasan |
Operasi pencarian terakhir pesawat itu berakhir Mei tahun lepas apabila syarikat eksplorasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity gagal mengesan pesawat malang itu selepas melakukan pencarian lebih 112,000 kilometer persegi di dasar laut selama lebih tiga bulan tempoh operasi
Sehingga kini, hanya tiga serpihan sayap, dikenali sebagai flaperon, disahkan berasal dari pesawat Penerbangan MH370.
Laporan berita menunjukkan bahawa penyiasat menemui nombor pada bahagian serpihan itu sepadan dengan nombor siri dan pengenalan yang dimiliki oleh bahagian-bahagian yang dibuat secara unik untuk Malaysia Airlines.
Serpihan sayap kanan ditemui di Saint Denis di Reunion Island pada Julai 2015, dua lagi serpihan lain ditemui di Mauritius pada Mei 2016 dan di sebuah pulau di Tanzania pada Jun 2016.
Selain itu, dilaporkan kira-kira 30 serpihan ditemui orang awam di kepulauan dan pantai Afrika di Lautan Hindi dan kebanyakannya diserahkan kepada pihak berkuasa dengan sebahagiannya disahkan sebagai ‘hampir pasti’ milik pesawat malang itu.
Laporan berita turut memaparkan penyiasat mendapati beberapa keping serpihan itu mempunyai nombor dan huruf stensil yang sama jenis tulisan dan warna digunakan oleh Malaysia Airlines serta beberapa bahagian dengan corak hiasan sepadan dengan Malaysia Airlines dan tidak digunakan oleh mana-mana syarikat penerbangan yang lain.
“Dengan melancarkan semula penyiasatan mungkin cara yang baik jadi kita dapat menentukan dengan lebih konkrit asal-usul 30 atau lebih serpihan bangkai pesawat dan kita dapat merancang dengan teratur lokasi di mana kepingan ini ditemui,” kata seorang pakar penerbangan tempatan, Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian.
“Memplot 30 keping atau lebih serpihan bangkai itu akan merungkai corak aliran kepingan ini di lautan dan menyusunnya dengan algoritma matematik tertentu, kita mungkin dapat menentukan lokasi kemalangan,” kata juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) kepada Bernama baru-baru ini.
Pada Julai tahun lepas, Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 dalam laporan setebal 449 muka surat, merumuskan bahawa mereka tidak dapat menentukan punca sebenar kehilangan pesawat itu, tetapi tidak menolak kemungkinan ‘campur tangan yang menyalahi undang-undang’ oleh pihak ketiga telah menyebabkan kejadian itu.
Bekas pegawai penyiasat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata: “Satu-satunya harapan kita adalah untuk menemui dua kotak hitam: perakam suara kokpit (CVR) dengan harapan dapat menunjukkan siapa atau mungkin mengapa atau bagaimana sekiranya ada apa-apa petunjuk; dan dengan perakam data penerbangan (FDR) kita dapat tahu bagaimana (ia terjadi)”.
Bekas juruterbang itu berkata mencari dua unit kotak hitam itu sahaja dilihat seperti satu keajaiban, apatah lagi mengekstrak data selepas lima tahun tenggelam enam kilometer di bawah permukaan lautan.
Ahad lepas, semasa acara Peringatan Tahunan MH370 ke-5, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersedia mendengar cadangan daripada mana-mana syarikat penerokaan atau pencarian dengan petunjuk yang boleh dipercayai dan mempunyai teknologi untuk memulakan semula pencarian.
Mengulas lanjut, bekas ketua juruterbang MAS Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata pencarian baharu hanya perlu dimulakan dengan pendekatan baharu kerana ia mungkin agak memakan kos yang tinggi.
Nik Ahmad Huzlan berkata pelancaran semula pencarian itu akan menjadi usaha yang sia-sia sekiranya pasukan penyiasatan tidak mengambil kira atau menolak kemungkinan dan senario tertentu detik terakhir penerbangan itu sebelum kehabisan minyak.
Prof Dr Mohd Harridon pula berharap situasi MH370 dikendalikan secara berterusan yang mana banyak pihak akan membantu mengurangkan tekanan emosi waris yang melaluinya.
“Situasi ini masih diselubungi misteri dan diharapkan pada masa akan datang maklumat atau metodologi baharu akan muncul untuk mengurangkan senario,”katanya.
“’Good Night, Malaysian Three Seven Zero’ adalah mesej radio terakhir yang dihantar dari kokpit MH370 dan ia akan terus bermain di fikiran kita serta kehilangan MH370 akan menjadi misteri penerbangan terbesar di dunia sehingga ada petunjuk baharu atau bukti utama yang ditemui,” katanya.
Sumber: BERNAMA
No comments:
Post a Comment