Wednesday, January 30, 2019

Nenek cedera ditumbuk cucu yang dijaga sejak kecil


LIMBANG: Seorang nenek mengalami bengkak di mata kanan dan lebam di tepi dahi sebelah mata kanan selepas dipercayai ditumbuk cucu sendiri di rumah mereka di Kampung Pengkalan Jawa, pagi kelmarin.
Mangsa, 95, yang mengalami masalah pendengaran dipercayai dikasari suspek, 30, yang dijaganya sejak kecil, dalam kejadian sekitar jam 7.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Mohd Bukhori Saffai berkata, kejadian dipercayai berpunca selepas suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana menyembur cat di tangga rumah mereka.
“Suspek ada menegur tindakan mangsa menyembur cat di tangga rumah, namun tidak diendahkan menyebabkan suspek berang lalu dipercayai menumbuk muka neneknya.
“Akibat kejadian itu mangsa mengalami bengkak di mata kanan dan lebam di tepi dahi sebelah mata kanan,” katanya semalam.
Mohd Bukhori berkata, kejadian itu disedari anak mangsa, 53, yang menetap berasingan sebaik dimaklumkan oleh sepupunya melalui telefon.
“Anak mangsa kemudiannya membawa mangsa ke klinik berdekatan di Tedungan dan sempat bertanya kepada suspek mengenai kejadian itu.
“Suspek mengaku menumbuk mangsa kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menyembur cat di tangga rumah mereka,” katanya lagi.
Suspek katanya, ditangkap pada jam 2.51 petang kelmarin dan direman semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan 18A Akta Keganasan Rumah Tangga (ART) 1994 (mendatangkan kecederaan).

Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment