SIBU: Seorang pengasuh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh bayi Aariz Harraz Zahin Azman, sembilan bulan.
Pertuduhan terhadap Hayati Yaman, 40 dari Jalan Permai dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Faizal Che Saad.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 28 Februari sebagai tarikh sebutan semula kes.
Hayati, dari Jalan Permai di sini didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Aariz Harraz Zahin di sebuah rumah di Jalan Permai antara pukul 5.45 pagi dan 12.30 tengah malam pada 7 Januari lalu.
Di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kesalahan itumemperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Dia ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk membantu siasatan kes itu.
Wanita itu ditahan buat pertama kali selama empat hari pada 9 Januari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.
Bagaimanapun, polis mengklasfikasikan semula kes itu sebagai kes pembunuhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan berikutan kematian bayi terbabit.
Terdahulu, dilaporkan tertuduh ditahan susulan laporan polis dari bapa mangsa di sebuah rumah di Jalan Permai pada 8 Januari.
Pasangan yang bekerja sebagai guru menghantar anaknya, Aariz ke rumah pengasuh pada pukul 5.30 pagi sehari sebelum itu, sebelum menerima panggilan telefon daripada tertuduh yang memaklumkan anak mereka mengalami masalah pernafasan.
Ketika tiba di rumah suspek, mereka mendapati anaknya tidak bergerak dan tidak menangis.
Mereka bergegas menghantarnya ke Hospital Sibu dan mangsa dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana dalam keadaan koma, didakwa didera dengan kecederaan otak yang teruk.
Enam hari kemudian selepas kemasukan ke hospital, mangsa yang didiagnosis mati otak, meninggal dunia selepas mesin bantuan hayatnya dipadamkan sekitar 11.40 pagi pada 14 Januari.
Berkaitan: Bayi didera pengasuh meninggal dunia
No comments:
Post a Comment