SIBU: Polis memberkas 31 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti haram sabung ayam, dalam satu serbuan di kawasan tanah lapang di Jalan Durin Kiba di sini, hari ini.
Bertindak atas maklumat dan risikan, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu dan Balai Polis Sibu Jaya membuat serbuan itu sekitar 1.20 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kesemua suspek termasuk tiga wanita yang ditahan berusia antara 22 hingga 73 tahun.
“Turut dirampas 16 ekor ayam sabung, satu unit alat penimbang, sekeping jadual pertaruhan, sebilah taji dan sejumlah wang pertaruhan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Penganiayaan Binatang 1960 (Sabong Ayam).
Stanley menegaskan, polis Sibu akan terus memerangi aktiviti perjudian di bandar ini dengan tanpa mengira di kawasan bandar mahupun luar bandar.
No comments:
Post a Comment