SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan mengadakan operasi musim perayaan sempena Tahun Baharu Cina (TBC) dari 29 Januari hingga 12 Februari ini.
Pengarahnya Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, operasi tersebut yang akan melibatkan anggota-anggota di semua bahagian dan unit JPJ Sarawak dijalankan secara rondaan dan statik di jalan-jalan di negeri ini.
Selain itu jelasnya, pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres di terminal-terminal di negeri ini akan dijalankan sepanjang tempoh operasi bagi memastikan semua bas yang beroperasi sentiasa berada dalam keadaan selamat digunakan.
Beliau berkata, aktiviti penyamaran penumpang bas di mana anggota-anggota penguat kuasa JPJ yang tidak berpakaian seragam akan ditempatkan di dalam bas-bas ekspres yang beroperasi di seluruh negeri.
Menurutnya, sebelum operasi bermula, anggota-anggota dari Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ Sarawak telah membuat pemeriksaan ke atas bas-bas ekspres di depo syarikat-syarikat bas di seluruh negeri untuk memastikan semua bas berkenaan selamat digunakan.
“Saya mahu semua anggota yang terlibat dalam operasi memberi fokus di terminal-terminal bas dan rondaan-rondaan di jalan-jalan raya bagi memastikan keberadaan anggota-anggota penguat kuasa JPJ di jalan-jalan raya di negeri ini sentiasa ada,” ujarnya ketika berucap pada Upacara Perhimpunan Setia JPJ Sibu di sini, kelmarin.
Hadir sama Ketua Pejabat JPJ Bahagian Sibu Pegawai Penguat Kuasa Mohd Faizal David Jemat.
Syafiq memberitahu, bagi memastikan pelaksanaan operasi TBC dijalankan dengan jayanya, ketua-ketua cawangan perlu membuat perancangan cuti anggota-anggota operasi di pejabat masing-masing dengan teliti.
“Kalau ada anggota-anggota yang telah bercuti tetapi diperlukan untuk bertugas pada waktu ditetapkan mohon mereka kembali bertugas, perkara ini turut dipraktikkan agensi-agensi penguatkuasaan lain.
“Ini kerana cuti itu bukan hak tetapi ia adalah keistimewaan sahaja, pengarah atau ketua cawangan mempunyai kuasa untuk memanggil mereka bertugas,” tegasnya.
Sementara itu, beliau memberitahu JPJ Sarawak akan menerima 13 anggota pelbagai jawatan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dari Semenanjung Malaysia dan mereka ditempatkan atas perjawatan sementara bermula 1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2020.
Katanya, anggota-anggota tersebut akan ditempatkan di Bahagian Penguatkuasaan di JPJ Negeri dan cawangan mengikut keperluan.
Dalam pada itu, Syafiq mengingatkan warga JPJ Sarawak supaya tidak tular sebarang isu yang boleh menjejaskan kepentingan serta imej jabatan dalam akaun media-media sosial mereka disebabkan perasaan tidak puas hati.
“Kalau hendak meluahkan perasaan pun jangan dimuat naik dalam Facebook (FB), Twitter dan sebagainya, banyak yang kita lihat dalam media sosial anggota-anggota kita suka nak meluahkan perasaan, perkara ini sentiasa dipantau oleh pihak ibu pejabat,” jelasnya.
Beliau berkata, JPJ Negeri ada mengambil tindakan ke atas anggota-anggota yang didapati memuat naik dalam akaun media sosial yang menghina rakan-rakan sekerja lain, memfitnah jabatan dengan membuat pertukaran dan keluar surat amaran.
Oleh itu tegasnya, apa jua isu atau masalah perlu dibincangkan sesama sendiri untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebagai penjawat awam, anda perlu menjaga profesionalisme,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment