Wednesday, January 30, 2019

Dana perumahan RM1b BNM tawar kadar gadai janji rendah

 Lim (tengah) melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Zuraida (dua kiri), Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah (kiri), Nor Shamsiah (dua kanan) dan Pengerusi AKPK Anuar Mohd Hassan. Melalui dana ini, warganegara Malaysia yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM2,300 dan tiada rekod pembayaran terjejas untuk tempoh 12 bulan kebelakang layak membeli kediaman yang ditawarkan dengan harga RM150,000 dengan kadar faedah maksimum 3.5%

BERITA GEMBIRA: Lim (tengah) melancarkan Dana Rumah Mampu Milik dan Portal Rumahku di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Zuraida (dua kiri), Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah (kiri), Nor Shamsiah (dua kanan) dan Pengerusi AKPK Anuar Mohd Hassan. Melalui dana ini, warganegara Malaysia yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM2,300 dan tiada rekod pembayaran terjejas untuk tempoh 12 bulan kebelakang layak membeli kediaman yang ditawarkan dengan harga RM150,000 dengan kadar faedah maksimum 3.5%

KUALA LUMPUR: Pembeli rumah pertama dijangka menikmati pengurangan sebanyak 23 peratus dalam komitmen bulanan masing-masing berbanding skim pembiayaan semasa di pasaran menerusi inisiatif Dana Rumah Mampu Milik Bank Negara Malaysia (BNM) yang dilancarkan semalam.
Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata menerusi kadar pembiayaan maksimum 3.5 peratus setahun bagi kediaman berharga sehingga RM150,000, inisiatif itu telah menarik lebih 1,037 individu yang menyertai pendidikan kewangan di bawah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Daripada jumlah itu, 265 individu secara sukarela tidak meneruskan hasrat memohon pembiayaan perumahan apabila menyedari mereka tidak mempunyai kemampuan yang mencukupi pada masa ini,” katanya pada majlis pelancaran dana dan Portal Rumahku di sini, semalam.
Dana dan portal tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.
Mengulas selanjutnya, Nor Shamsiah berkata, selain menangani keperluan kewangan pembeli rumah pertama, inisiatif itu juga bertujuan mendidik mereka mengenai kemampuan meminjam serta membayar balik.
“Portal Rumahku ini membantu bakal peminjam memahami dan mengurus kewangan mereka dengan berkesan melalui penilaian kendiri yang mudah.
“Golongan sasar harus menyedari memiliki rumah melalui pinjaman perlulah berlandaskan kemampuan untuk membayar balik pinjaman sepenuhnya,” katanya.
Menurutnya, satu kajian pada 2018 menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu menanggung perbelanjaan di luar jangkaan dengan 52 peratus mengakui sukar menyimpan RM1,000 ketika waktu-waktu yang memerlukan.
“Hanya dua peratus rakyat yakin dapat memenuhi obligasi kewangan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan sekiranya hilang punca pendapatan,” katanya.
Sehubungan itu, Nor Shamsiah berkata, pelbagai inisiatif diambil bagi menangani tahap celik kewangan yang rendah dalam kalangan rakyat negara ini.
Sementara itu, Lim berkata setakat ini sejumlah 16 permohonan telah diterima menerusi Portal Rumahku yang dibuka sejak 2 Januari, 2019.
Daripada angka itu, sebanyak lima permohonan telah diluluskan manakala 11 lain sedang diproses.
“Ini menunjukkan perkembangan yang baik meskipun ia belum dihebohkan. Sekiranya ada peluang, kita akan melanjutkan dana ini melebihi tempoh dua tahun yand disasarkan, bergantung kepada permintaan,” katanya.
Menurut Lim, inisiatif itu juga antara tiga streategi yang dirangka kerajaan bagi menangani masalah pemilikan rumah di Malaysia.
BNM misalnya, turut bekerjasama dengan institusi kewangan lain bagi memperkenalkan langkah baharu membantu pemilik rumah pertama dengan pendapatan isi rumah di bawah RM5,000 bagi pembelian rumah berharga sehingga RM300,000.
Beliau berkata, bagi peminjam pinjaman rumah pertama dengan pendapatan isi rumah sehingga RM5,000, kerajaan akan memperuntukkan RM25 juta kepada Cagamas Bhd bagi menyediakan jaminan pajakan untuk memastikan peminjam mendapat pembiayaan lebih tinggi termasuk deposit.
Selain itu, kata Lim, kerajaan menerusi usaha sama dengan penggiat industri, akan mengumumkan langkah bagi menangani unit kediaman yang tidak terjual, minggu ini.
Menurutnya, unit tidak terjual itu telah meningkat 48 peratus kepada 30,115 unit setakat suku ketiga tahun lepas berbanding suku sama pada 2017.
“Ini mencerminkan cabaran kemampuan memiliki rumah yang berlanjutan serta ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran rumah di pasaran,” katanya.
Setakat November 2018, jumlah pinjaman gadai janji di Malaysia meningkat 7.7 peratus kepada RM555.5 bilion yang mana 70 peratus merangkumi pembeli rumah dengan hartanah berharga di bawah RM500,000. — Bernama

No comments:

Post a Comment