Monday, July 23, 2018

Tiga parah ditetak dalam kes rompakan di stesen minyak

MIRI: Dua pekerja wanita di sebuah stesen minyak di Senadin, dekat sini, mengalami cedera parah di bahagian belakang badan dan belakang belakang, selepas ditetak oleh seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah parang panjang.
Turut cedera dalam kejadian tersebut ialah seorang awam, dipercayai ayah kepada seorang pekerja wanita terbabit, yang sedang menunggu anaknya habis bertugas.
Dalam kejadian yang berlaku jam 6.52 petang kelmarin berdasarkan catatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kedua-dua pekerja terbabit sedang duduk di kaunter pembayaran, apabila perompak masuk dan berdiri tidak jauh daripada kedua-dua mereka, sebelum mengeluarkan sebilah parang panjang lalu bertindak nekad menetak kedua-dua mangsa, yang dalam keadaan tidak bersedia.

Salah seorang mangsa berjaya berlari keluar dari stesen minyak berkenaan untuk mendapatkan ayahnya, sambil dikejar oleh perompak terbabit.
Di luar kaunter stesen berkenaan, suspek masih menyerang mangsa dan turut menetak ayah mangsa, yang mengenai bahagian mukanya.
Menurut sumber terdekat, perompak terbabit hanya memakai topi sahaja, sempat kembali semula ke dalam stesen minyak dan melarikan sejumlah wang dari kaunter mesin, namun belum dapat dipastikan jumlahnya,  Kedua-dua pekerja wanita terbabit, Nurul Balqis Hardi, 19 dan Robis William, 23 serta ayah Nurul, Hardi Mohd Muli, 48, dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan, sementara perompak berkenaan berjaya diberkas dengan bantuan orang awam, malam tadi, sebelum diserahkan kepada pihak polis. - Utusan Borneo Online

Saturday, July 21, 2018

TOKYO: Yoshiyuki Yoshida dilaporkan bergurau atau cuba melakukan “prank” dengan menembak udara tekanan tinggi ke bahagian dubur atau anus rakannya Akio Ishimaru.

Namun, gurauan atau “prank” melampau Yoshida itu akhirnya membunuh rakannya.
Laporan polis menyebut, Yoshida dan Ishimaru bekerja di kilang pembuatan alatan industri di Ibaraki.
Ketika rehat pada 13 Julai itu, Yoshida bergurau dengan menusuk pemampat udara ke punggung Ishimaru, 46.
Beberapa minit selepas gurauan itu, Ishimaru mengadu rasa tidak sihat dan dia kemudian jatuh pengsan.

Rakan lain memanggil ambulans, tetapi Ishimaru disahkan meninggal di hospital.
Memetik RT pada Selasa lepas juruakap polis berkata, “pelepasan udara ke dalam tubuh mungkin merosakkan paru-paru, menyebabkan kematian mangsa.”
Yoshida mengaku dia hanya cuba bergurau dengan Ishimaru, tetapi tidak berniat membunuhnya.
“Saya tidak fikir dia akan mati,” kesali Yoshida.
Mac lalu, seorang pekerja kilang di India turut terbunuh akibat berlaku kerosakan organ dalaman dan pendarahan selepas rakan-rakannya melakukan gurauan dengan cara yang sama dilakukan Yoshida. –Sarawakvoice

Tuesday, July 10, 2018

MAKASSAR: Nenek bernama Ria Daeng Cahya, 54, ditemui mati di rumahnya di BTN Zarindah Permai, Kejiranan Borong Raukang, Kampung Samata, Somba Opu, Kabupaten Gowa.

Berdasarkan siasatan polis, nenek tersebut, Daeng Cahya meninggal selepas berselingkuh dengan pemandu ojek (motosikal sewa) online dikenali sebagai MA berusia sekitar 35 tahun.
Sumber menyebut, kedua-dua mereka bertemu di rumah mangsa pada waktu petang.
Ketika berlaku hubungan intim, mangsa dikatakan sesak nafas.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Bhayangkara dan meninggal di situ.
Mayat mangsa dilaporkan dikembalikan ke rumahnya.
Manakala, pemandu ojek bernama MA ditangkap untuk siasatan lanjut dan mengelak menjadi mangsa amukan saudara-mara mangsa.
Tribun-Timur.com pada Sabtu lepas melaporkan riwayat penyakit asma diduga menjadi penyebab kematian nenek tersebut.
Menurut portal tersebut Daeng Cahya dikatakan masih mempunyai suami dan anak di Bantaeng dengan hubungan bersama suaminya sedang renggang.
Begitu juga dengan hubungan pemandu ojek bernama MA dengan isterinya turut renggang. –Sarawakvoice

Sunday, July 8, 2018

Puteri Balqis Disahkan Hidap Kanser

Berita yang amat mengejutkan buat peminat pelakon cilik, Puteri Balqis yang dikhabarkan sah menghidap penyakit kanser. Berita tersebut disampaikan oleh ibunya, Norashikin Mohd Aziz tanpa menjelaskan secara terperinci jenis barah yang menyerang anaknya.

“Saya minta maaf, buat masa ini saya tak mahu membuat sebarang temu bual. Demamnya masih tak berhenti. Jantung dan paru-parunya mempunyai masalah. Apa pun dia semakin kuat,” jelasnya kepada Berita Harian Online.
Sebelum ini Balqis yang pernah terlantar sakit dikatakan menghadapi masalah jantung. Namun keadaan Balqis mula menjadi tanda tanya apabila beberapa hari lalu beliau memuat naik gambar berserta dengan hashtag #fightcancer.

Perkongsian yang dipercayai dimuat naik oleh oleh ibu bapanya, menceritakan Balqis yang baru saja menjalani rawatan dan memaparkan beliau memakai topeng muka, namun kelihatan tetap ceria tersenyum.
Pun begitu, Norashikin menjelaskan, keadaan anaknya kini bertambah baik dan semangat Balqis yang kuat melawan penderitaan penyakit yang dihadapinya. Semoga adik Balqis diberikan kekuatan untuk terus melawan dugaan besar ini. (rtky/w)

Thursday, July 5, 2018

KUALA LUMPUR:Dua puluh tiga projek ‘sakit’ yang masih gagal menepati tempoh siap ditetapkan bakal menerima nasib sama seperti Hospital Petra Jaya di Sarawak yang ditamatkan kontrak pembinaannya, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. 

Katanya tindakan tegas itu perlu dalam memberikan amaran kepada kontraktor dan pemaju projek pembinaan tersebut yang dilihat bersikap sambil lewa dalam menyiapkan kemudahan penting itu.
“Mana-mana projek ini yang sangat sakit (sangat lewat) setelah diberikan empat kali amaran kita akan ambil tindakan sama seperti di Petra Jaya.
“Saya akan turun padang dan melihat sendiri serta berjumpa dengan pemaju…jika masih gagal kami akan serahkan projek ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu forum mengenai kesihatan anjuran Institut Strategi & Kepimpinan Asia (ASLI) di sini, hari ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan berkata akan memantau sekurang-kurangnya 23 projek pembinaan hospital dan klinik di seluruh negara yang diklasifikasikan sebagai ‘sakit’ atau ‘merah’ yang mengalami kelewatan dalam pembinaan.–BERNAMA

Sunday, July 1, 2018

BAU: Setelah lebih 55 tahun menubuhkan Malaysia, Sarawak akan mula menguatkuasakan undang-undang Ordinan Perlombongan Minyak 1958 hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan undang-undang itu akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.
“Mulai esok hari, 1 Julai (hari ini), kita akan menguatkuasakan peruntukan undang-undang kita iaitu Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) dan Kanun Tanah Sarawak.
“Syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas, akan mula memberikan maklumat mereka dan juga mereka dikehendaki untuk mendapatkan lesen untuk menjalankan industri itu di Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Gawai Dayak Redeems di Singai dekat sini malam tadi.
Tegasnya, pelaksanaan OMO adalah salah satu daripada pengembalian hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Syarikat petroleum milik Kerajaan Negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebelum ini telah diamanahkan untuk menguatkuasakan pentadbiran itu.
“Ia telah bersedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab baharu tersebut,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari menegaskan, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan ini bermakna Petronas dan semua syarikat lain yang menjalankan aktiviti berkaitan petroleum dan gas di negeri Sarawak perlu mendapatkan lesen dan permit pada kadar segera atau dikenakan tindakan.
Petronas sebelum ini mencabar OMO dengan melakukan semakan status eksklusifnya dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.
Bagaimanapun permohonan mereka ditolak Mahkamah Persekutuan dengan kos RM50,000, kerana memfailkan prosiding di mahkamah yang salah.
Kes sepatutnya didengari di Mahkamah Tinggi.
Lebih 5,000 komuniti Bidayuh dari kawasan Bau dan Lundu hadir ke majlis tersebut.
Turut hadir Pengerusi Pengelola, Datuk Peter Nansian Ngusie dan Adun Tasik Biru, Datuk Herry Harry Jinep. –Sarawakvoice

Saturday, June 30, 2018

KUCHING, 30 Jun (Bernama) – Seorang pemimpin Sarawak menasihati  masyarakat Bidayuh supaya bersaing bersungguh-sungguh dengan etnik lain dalam semua bidang.

Datuk Dr Jerip Susil, Menteri Muda Pengangkutan  Sarawak, juga berkata ibu bapa Bidayuh tidak boleh sekali-kali mengambil ringan tentang pendidikan anak masing-masing.

Sehubungan itu, beliau, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Mambong, tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk menutup sekolah yang tidak mempunyai banyak murid, terutama yang terdapat di kawasan Bidayuh serta memuji persatuan Bidayuh yang menyuarakan bantahan terhadap cadangan itu.

“Semua persatuan suku kaum Bidayuh perlu bekerjasama rapat demi manfaat masyarakat Bidayuh,” katanya pada majlis penyampaian insentif pendidikan Persatuan Biperoh Kuching (BAK) dan penutupan festival Gawai di sini malam tadi.

Pada  majlis itu, 37 pelajar yang mendapat  keputusan  cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PT3, SPM dan STPM menerima insentif daripada anggota suku kaum Biperoh.

Berucap pada majlis berkenaan, presiden BAK Mangan Ngandok berkata persatuan itu berharap Anggota Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin akan dilantik menyandang jawatan di peringkat persekutuan, sekurang-kurangnya  sebagai timbalan menteri.
KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di belakang kediaman keluarga di Kampung Tematu di sini, hari ini.

Mangsa berusia 33 tahun itu ditemui abangnya sekitar jam 7.20 pagi yang kemudian terus menghubungi pihak polis.

“Abang mangsa kemudian bergegas menurunkan mangsa serta membuka ikatan di lehernya sebelum menghubungi pihak polis,” kata sumber

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa anggota paramedik.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan yang mengesahkan kes itu memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.

Katanya, mangsa yang masih bujang dan bekerja di sebuah pejabat kerajaan merupakan anak bongsu daripada 12 adik beradik.

“Menurut keluarganya, sebelum ini mangsa dikatakan tiada mempunyai sebarang masalah. Bagaimanapun, dua tiga hari lepas, mangsa sentiasa termenung dan keluarganya tidak tahu punca mangsa sedemikian,” katanya.

Kali terakhir mangsa dilihat ialah selepas makan malam di rumah sekitar jam 8.30 malam sebelum dia keluar dari rumah.

Friday, June 29, 2018

PUTRAJAYA akan menjual hasil rampasan dari premis yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Najib Razak, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada The Associated Press (AP) hari ini.

Hasil rampasan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM900 juta dan RM1 bilion.
“Kita akan cuba jual apa yang boleh, tetapi perlu diingat bahawa ia tidak terbanding dengan jumlah yang telah dirompak dari negara,” kata Lim menerusi temu bual bersama AP sambil menambah beliau terkejut dengan nilai barangan yang dirampas.
“Bayangkan kalau jumlah itu ditemui di Amerika Syarikat (AS), sudah tentu negara kaya seperti AS pun akan sukar untuk membayangkannya. Memang tidak boleh dibayangkan.”
Sebanyak 12,000 barang kemas, 567 beg tangan mewah, 423 jam tangan dan 234 cermin mata hitam telah dirampas dari premis yang dikaitkan dengan Najib sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap skandal 1MDB.
Najib menafikan semua salah laku yang dituduh terhadapnya dan berkata kebanyakan barangan yang dirampas adalah pemberian hadiahketua-ketua negara lain yang dikumpul sejak bertahun lamanya.
Malah menurut Najib, nilai hasil rampasan itu tidaklah setinggi seperti dakwaan pihak berkuasa.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam memberitahu The Edge bahawa Najib akan didakwa tidak lama lagi. – 29 Jun, 2018.
Buah betik mengandungi nutrisi yang bagus
untuk tubuh badan seperti protein, zat besi, fosforus, kalium, kalsium, natrium, dan riboflavin.

Buah betik juga kaya dengan vitamin C dan mempunyai kandungan serat yang tinggi.

Selain menjadi penambah tenaga dan sumber pembersih perut yang mujarab, ia amat berkesan bagi menyembuhkan berbagai gangguan perut dan penghadaman makanan.
KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan proses undang-undang untuk menuntut semula barangan mereka yang dirampas polis bernilai antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Keluarga bekas perdana menteri itu turut mengulangi, barangan yang dirampas itu kebanyakannya adalah hadiah daripada rakan-rakan, kenamaan asing termasuk kerabat diraja dalam pelbagai majlis termasuk lawatan rasmi dan acara keluarga seperti sambutan hari jadi, ulang tahun dan majlis perkahwinan.

“Sebahagian daripada barang yang dirampas milik saudara-mara dan pihak ketiga.

“Kami mempertikaikan kuantiti dan penilaian yang diberi dalam sidang akhbar oleh pihak polis memandangkan ia bersifat subjektif dan tertakluk bila hadiah itu diberi,” kata Najib dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook dan Twitter beliau semalam.

Beliau menegaskan lagi, kebanyakan barangan itu adalah hadiah terkumpul selama beberapa dekad, dan keluarganya tidak mengetahui berapa banyak yang telah dibayar oleh pemberi yang telah menghadiahkan barangan itu.

Najib berkata sebarang penilaian berdasarkan harga runcit dan pada harga semasa adalah tidak realistik, mungkin terlalu tinggi, yang akan memberikan gambaran menyimpang kerana barang-barang itu diterima sebagai hadiah sepanjang tempoh berpuluh tahun.

Beliau memberikan contoh, polis dalam sidang akhbar menyatakan bahawa jam tangan paling mahal Rolex Daytona yang dikatakan bernilai RM3.4 juta.

“Barang yang dirujuk oleh polis itu merupakan hadiah yang diterima baru-baru ini bersama beberapa barang bernilai yang lain oleh Menteri Dalam Negeri, yang juga seorang putera raja dari negara Timur Tengah yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini.

“Sepatutnya pihak polis menyatakan barangan serta item lain yang dirampas itu, diletakkan di dalam sebuah kotak yang tertera lambang diraja sebuah negara asing.

“Fakta ini tidak sepatutnya ditinggalkan,” katanya.

Najib juga menegaskan banyak barangan yang disita terkandung di dalam kotak yang dilabelkan oleh staf beliau dengan keterangan, gambar, tarikh hadiah dan identiti si pemberi hadiah.

“Sekiranya polis memanggil anggota keluarga kami untuk soal siasat berhubung perkara ini, kami akan menawarkan kerjasama penuh. Kami juga akan mencuba yang terbaik membantu polis mengenal pasti mereka yang telah menyumbangkan hadiah itu selama beberapa dekad.

Beliau berkata sama seperti kenyataan mengenai hutang inflasi yang melampau, anggaran nilai barangan yang dirampas sengaja diperbesarkan bertujuan untuk membalas dendam serta merupakan serangan politik ke atas keluarganya.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata jumlah keseluruhan nilai barangan yang dirampas berkaitan dengan siasatan ke atas bekas perdana menteri antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Rampasan itu membabitkan serbuan di enam premis milik Najib dan dua anaknya di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Mei.– BERNAMA

JAKARTA: Kerajaan akan mengambil tindakan ke atas Tun Abdul Taib Mahmud sekiranya terdapat laporan mengenai salah laku dilakukan Yang Dipertua Negeri Sarawak itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sehingga kini, belum ada sebarang laporan dibuat penduduk negeri itu ke atas salah laku Abdul Taib yang dikatakan melibatkan agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Bagi kami untuk mengambil tindakan mesti ada laporan daripada seseorang, sehingga saat ini terdapat banyak yang diperkatakan, tetapi tidak ada sebarang laporan yang diterima.

"Jadi, kami belum mengambil sebarang tindakan, tetapi jika rakyat Sarawak mahu kami mengambil tindakan, mereka boleh membuat pertuduhan atau aduan dan kami akan meneliti laporan mereka.

"Kalau rakyat Sarawak ingin kami ambil tindakan, ia mesti mempunyai pengadu," katanya pada Khamis semasa sesi soal jawab selepas berucap di hadapan kira-kira 300 rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta di Kedutaan Besar Malaysia di sini dalam Sesi Khas Bersama Perdana Menteri.

Pada Februari, Abdul Taib menerima suratcara pelantikan bagi menyambung khidmatnya selama empat tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara,

Pada 1 Mac 2014, Abdul Taib mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh setelah meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak pada 28 Feb 2014.

Pelbagai dakwaan rasuah telah dibuat terhadap Abdul Taib semasa beliau menjadi ketua menteri dari 1981 hingga 2014.

Tuduhan-tuduhan itu termasuk salah guna kuasa, rampasan tanah dan menerima sogokan. Astro Awani

Thursday, June 28, 2018

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat enam lagi jenama produk ikan sardin dalam tin yang mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata enam produk ikan sardin berkenaan adalah jenama Cinta, Sea Fresh, HS Brand, King Cup, Bintang dan TC Boy.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengambil tindakan penguatkuasaan dan syarikat yang terbabit sudah diarah menarik balik produk berkenaan dari pasaran serta dikenakan tindakan Tahan, Uji dan Lepas terhadap pengimportan produk ikan dalam tin di semua pintu masuk negara.
Tahan, Uji dan Lepas adalah tindakan di mana sampel akan diambil untuk melalui proses analisis dan produk berkenaan hanya dilepaskan sekiranya keputusan menunjukkan tiada pelanggaran dikesan iaitu dalam hal ini, cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

"Manakala bagi produk ikan dalam tin keluaran tempatan, verifikasi di semua kilang pengeluaran dijalankan oleh Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi produk ikan dalam tin, risiko kesihatan yang akan dihadapi oleh individu amat rendah kerana cacing terbabit sudah mati kerana melalui proses memasak atau pengetinan.

"Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terbabit dalam mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya yang memudaratkan kesihatan adalah satu kesalahan.

"Jika sabit kesalahan boleh boleh dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah, kawasan, bahagian yang terdekat boleh menghubungi kementerian laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan.

BHonline


Kuching: Seorang wanita berusia 18 tahun berjaya dipujuk oleh pihak Bomba supaya tidak meneruskan niat dalam cubaan bunuh diri terjun dari bangunan rumah kedai 2 tingkat di Metro City Matang petang tadi. Mangsa kemudiannya diberi pemeriksaan kesihatan serta nasihat berkaitan dengan tindakannya sebelum diserahkan kepada suaminya.

Wednesday, June 27, 2018

PUTRAJAYA: Dua lelaki termasuk seorang pengarah urusan sebuah syarikat yang berpangkalan di Bintulu direman enam hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap pengarah urusan bersama peguam syarikat itu mulai hari ini sehingga 2 Julai bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Pengarah urusan yang berumur 59 tahun itu ditahan pada 5.30 petang semalam manakala peguam berusia 30 tahun ditahan pada 2.45 petang semalam ketika mereka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 (a) Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu.

Kedua-dua lelaki yang berbaju lokap SPRM itu tiba di perkarangan mahkamah pada 9.30 pagi dengan bergari.

Pada awal Jun, sebuah portal melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM2.5 bilion di Sarawak yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Pada 11 Jun, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata Kementerian Pendidikan telah memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.

Terdapat 369 sekolah di negeri itu yang tidak mempunyai bekalan elektrik tetap dan hanya menggunakan genset diesel untuk menjana elektrik.

Sebelum 2017, bekalan diesel kepada sekolah adalah daripada beberapa kontraktor yang dibekalkan secara kontrak.

Bermula 1 Jan 2017, Jepak Holding Sdn Bhd, yang asalnya satu daripada kontraktor  terlibat, telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Dis 2019 dengan nilai ‘melebihi RM1 bilion’ termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Selain membekalkan diesel di sekolah-sekolah pedalaman di Sarawak, syarikat itu juga memasang sistem solar hibrid dan penyelenggaraan generator di 369 sekolah pedalaman selama tiga tahun. — BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih 30 pengamal media berkumpul di luar kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini berikutan desas-desus bekas perdana menteri itu akan ditahan semalam.

Bagaimanapun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh ketika dihubungi menyangkal perkara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyatakan perkara sama apabila Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika dihubungi berkata pihaknya tidak bercadang membuat serbuan atau menangkap Najib pada masa ini.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan kediaman bekas perdana menteri itu masih dikawal ketat oleh pihak polis dengan balai polis bergerak ditempatkan di situ.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib berhubung penyelewengan berbilion ringgit daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain itu Najib turut disiasat oleh SPRM berhubung kes SRC International Sdn Bhd, sebuah lagi syarikat yang terlibat dalam isu 1MDB.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini.– BERNAMA

Tuesday, June 26, 2018

KUALA LUMPUR - Gaji penjawat awam yang dijadualkan dibayar pada 25 Julai 2018 akan diawalkan seminggu kepada 18 Julai depan.


Menurut surat pekeliling yang dikeluarkan hari ini oleh Akauntan Negara, Datuk Saat Esa, kerajaan telah bersetuju bahawa tarikh pembayaran gaji bulan Julai 2018 dipinda.

“Pelaksanaan peraturan pembayaran gaji tahun 2018 masih tertakluk kepada Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bilangan 6 Tahun 2017.

“Pekeliling ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Sebelum ini gaji penjawat awam bagi bulan Jun telah dibayar lebih awal iaitu pada 7 Jun 2018 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berbanding 25 Jun yang dijadualkan. - K! ONLINE
HUKUM NGINTU ADAT JADI MALI


Jadi Mali' atau perkahwinan terlarang ini boleh kita definisikan sebagai perkahwinan di antara dua orang yang ingin mendirikan rumah tangga tetapi mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat dekat seperti contoh :



Ibu/bapa saudara yang hendak mengahwini anak saudara nya (anak kepada adik atau kakak/abang) dalam adat kaum iban, pada mulanya, apabila ahli keluarga mula mengetahui hubungan pasangan ini, langkah pertama ialah hubungan ituHARUS di tentang dan di halang terlebih dahulu.

Namun, apabila keadaan menjadi tidak dapat di elak kan utk menghalang mereka dari berkahwin, sebagai contoh: si gadis sudah pun hamil maka adat ini harus di lakukan untuk mengelakkan semua bencana dan malapetaka yang di sebabkan oleh 'jadi mali' ini berlaku pada masa hadapan.

Adat ini bermula dengan pasangan pengantin harus di lakukan di sungai di mana mereka akan dimandi kan dengan Darah Khinzir (seperti dalam gambar). Pasangan pengantin di payungi dengan 'Pua Kumbu' oleh dua orang wanita dan kedudukan pasangan ini haruslah berada pada sebelah hilir sungai.

Sementara dua orang lagi yang di ketuai oleh penghulu kampung dan ketua adat menyembelih seekor khinzir pada hala yang sama namun dari hulu sungai untuk membolehkan darah khinzir itu hanyut dan melalui pasangan pengantin yang duduk di sebelah hilir sungai. Sambil menyebut beberapa kata-kata 'sampi/doa' semoga kehidupan pasangan tersebut sentiasa selamat dan di lindungi dalam melayari alam rumah tangga.

Adat mandi darah khinzir ini juga turut di sertakan dengan hukuman berupa sebuah kebuk, piring kaca, dan duit hukuman dalam jumlah RM200-300 mengikut berapa dekatnya jarak hubungan kekeluargaan di antara pasangan tersebut. Walau bagaimana pun perkahwinan di antara sepupu tidak termasuk dalam kategori 'mali' dalam masyarakat iban.


Info Tambahan:


Dahulu kalau, "Jadi Mali" ini boleh dikenakan hukum Adat lama iaitu kedua - dua akan dibunuh dengan buluh runcing.


"..nitih ke tusut, ukum iya kena bunoh kadua dua iko seduai ke ngaga penyalah nya, jalai munoh seduai ti jadi salah serak tauka jadi mali tu iya nya enggau buloh aur pantang ke udah di lancham tajam bendar lalu dipantang ka ba tubuh seduai ti di pegulai ka betangkup dalam siti lubang.."


Menurut kepercayaan nenek moyang dulu kala, perkahwinan yang terhasil daripada 'jadi mali' akan mengundang bencana besar seperti 'kudi' atau tanah runtuh. Kehidupan pasangan yang jadi mali juga tidak tenteram atau tidak sihat dan kurang mendapat rezeki dalam kehidupan seharian. Jika mereka di kurniakan anak, kemungkinan anak mereka akan lahir dengan cacat anggota badan atau otak.


Oleh itu, adat mandi darah khinzir di lakukan untuk membatalkan semua bencana tersebut. Bagaimanapun, seiring peredaran zaman yang semakin moden dan canggih adat ini sehingga kini masih di lakukan oleh masyarakat iban.


Panduan:

Sampi = Doa
Kebuk = Sejenis tajau yang bentuknya kecil.
Kudi = Bencana ribut kuat atau puting beliung.

Kredit Andy Jimbai , Duan Mumy Macleren
LUAHAN HATI PENDUDUK ISU BENTENG SUNGAI KRIAN SARATOK




Projek Benteng Sungai Krian Saratok yang terbengkalai dari penghujung 2017 sehingga sekarang masih tergantung. Mohon ada tindakan penyelesaian.

Keadaan sungai semakin terhakis dan pokok-pokok disekitar sungai telah ditebang pihak yang menjalankan projek bagi memberi laluan untuk pembinaan benteng dibuat namun apa yg menyedihkan hakikatnya pembinaannya tergantung sepi dr penghujung 2017 hingga kini. Ramai penghuni rumah-rumah sekitar sungai Krian merasa gelisah setiap kali hujan lebat dan bah besar melanda. Pihak yg sepatutnya bertangungjawab mohon tampil. Dalam tempoh yg lama dimana pemaju dan pemantau projek ini??

Lokasi gamabr : tebingan sungai krian kampung melango saratok.

Terima kasih admin.

Monday, June 25, 2018


BBP Kanowit menerima panggilan daripada seorang guru di SJKc tersebut, memaklumkan ada terhidu bau busuk di dalam guni yang terapung di Sg. Pak Jalan Lukut-Penyulau berhampiran dengan sekolah pengadu.

PGO Sarawak juga telah menghubungi IPD Kanowit bagi persediaan awal untuk bantuan sekiranya diperlukan memandangkan laporan daripada pengadu, mengesyaki terdapat mayat.

Sampai di lokasi, pihak Bomba menurunkan tangga bagi mendapatkan bungkusan guni yang terapung. Namun, setelah dibuka didapati terdapat bangkai seekor khinzir di dalamnya.

Hasil daripada penemuan telah melegakan pengadu yang pada mulanya disangkakan terdapat mayat di dalam guni tersebut.

PUTRAJAYA  - Bekas pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak direman tujuh hari bagi membantu siasatan skandal kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan suspek bergelar Datuk direman sehingga Ahad ini.

Lelaki yang berusia 42 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM ditahan di ibu pejabat SPRM pada 9.45 malam semalam.
Terdahulu, lelaki itu tiba di sini pukul 9.15 pagi dengan tangan bergari dan berpakaian lokap SPRM.
Tangkapan itu merupakan kali pertama melibatkan kes 1MDB. - K! ONLINE

Saturday, June 23, 2018

Kereta meletup angkara gas bocor

GARA-GARA membawa tong gas petroleum cecair (LPG) yang bocor, seorang lelaki melecur apabila keretanya ‘meletup’ selepas dia menghidupkan pemetik api untuk merokok dalam kejadian di Jalan Subang Mas, Taman Pinggiran USJ 1, Subang Jaya, Jumaat minggu lalu.
Dalam kejadian 4.40 petang itu, mangsa berusia 48 tahun melecur pada kedua-dua belah tangan serta muka manakala kereta Toyota Viosnya mengalami kerosakan teruk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, berkata mangsa dipercayai tidak menyedari berlaku kebocoran pada tong gas memasak yang diletakkan di bahagian tempat duduk penumpang hadapan itu.

"Apabila kereta itu sampai di sebuah persimpangan lampu isyarat, mangsa membuka cermin dan menghidupkan rokok dengan menggunakan pemetik api.

“Ruang dalam kereta ketika itu sudah dipenuhi dengan gas LPG yang bocor dan api daripada pemetik api mencetuskan letupan dalam kenderaannya, bagaimanapun tiada kebakaran berlaku dalam kenderaan mangsa,” katanya ketika dihubungi NSTP, malam tadi.

Katanya, pihaknya yang menerima laporan pada 4.46 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama lapan anggota untuk kerja menyelamat.
Beberapa gambar kejadian itu mula viral di media sosial sejak semalam dan mengundang tanda tanya netizen berhubung punca sebenar insiden itu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Choo Lily ketika mengesahkan kejadian itu memaklumkan mangsa dihantar ke Hospital Shah Alam untuk rawatan akibat kecederaan yang dialaminya.
“Punca sebenar kejadian itu masih dalam siasatan.

“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Metro On Line
Kami akan teruskan tindakan undang-undang berhubung PDA74 — Petronas

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akur akan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan pendengaran kes berhubung tuntutan syarikat itu terhadap hak eksklusifnya di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.

Petronas dalam kenyataannya semalam menyatakan keputusan itu tidak mematahkan usaha syarikat minyak dan gas negara itu untuk meneruskan tindakan undang-undang.

Ia bertujuan mendapatkan penjelasan akan hak dan kedudukan Petronas yang termaktub dalam PDA 1974.

Pada prosiding awal kes di antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak kelmarin, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan di bawah Perkara
4 (4) Perlembagaan.

Permohonan pendengaran itu tidak dapat dilakukan kerana tuntutan tersebut berada di luar bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah juga tidak menentukan atau mengesahkan merit kedudukan undang-undang yang diambil Kerajaan Negeri Sarawak untuk mengawal selia aktiviti petroleum huluan bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

Mahkamah Persekutuan juga menyatakan konsesi oleh Kerajaan Sarawak bahawa Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) telah dibuktikan secara sah.

Ini memperkuat pandangan Petronas bahawa hanya Parlimen boleh meluluskan undang-undang mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan industri huluan petroleum termasuk kuasa pengawalseliaan di seluruh Malaysia berdasarkan PDA 1974. –Sarawakvoice

Friday, June 22, 2018

Marudi: Mayat seorang lelaki dijumpai terapung di wharf express marudi oleh orang awal pada jam 9 pagi tadi.
Setelah dikenal pasti mangsa dikenali sebagai Sujai bin Hj Jaree berumur 72 thn telah keluar memancing pada jam 6.30 pagi bersama dengan 2 lagi cucu yg berumur 14 thn dan 12 thn.
Bagaimanapun kedua-dua cucu mangsa masih gagal dijumpai.
Operasi mencari akan disambung semula awal pagi esok.


Kekasih gelap “melekat” curang lakukan seks

KITALE: Tetamu hotel bandar Kitale, Trans-Nzoia County, mendengar jeritan datang dari salah satu bilik.

Ada yang kamudiannya menekan penggera bunyi.

Ketika polis sampai didapati sepasang kekasih gelap “terperangkap” akibat “melekat” semasa melakukan seks dengan kekasih gelapnya di bilik hotel berkenaan.

Doktor terpaksa dipanggil untuk memisahkan kekasih pasangan gelap itu.

Nairobi News melaporkan, asalnya pasangan lelaki, seorang suami sanggup menipu isterinya di bandar Lodwar sehingga dia ditemui “melekat” semasa melakukan zina.

Foto digunakan media tempatan dalam meliput berita ini menunjukkan pasangan itu ditutup dengan selimut ketika mereka masih melekat di dalam sebuah van, selepas dikeluarkan dari hotel berkaitan.

Laporan menyebut isteri meminta dukun atau bomoh “memerangkap” suaminya sehingga ia melekat ketika curang.

Dalam istilah kedoktoran, peristiwa tersebut disebut “penis captivus”.

Menurut laporan media tersebut, ini bukan kes pertama dilaporkan kerana pada November 2016, sepasang kekasih gelap turut “melekat” di Kisii County, selepas suami meminta dukun “mengenakan” isterinya yang curang.–Sarawakvoice
KEMALANGAN JALANRAYA DI ALAMAT SIMPANG KAMPUNG KERJI.

Kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan batu dan lori membawa barangan runcit  telah bertembung dari arah bertentangan dan telah mengakibatkan kaki pemandu lori barangan runcit tersepit.

Pihak Bomba menggunakan Spreader Hydraulic bagi merenggangkan bahagian tempat kaki mangsa yang tersepit. Mangsa diberi rawat awal oleh unit EMRS dan seterusnya diserahkan kepada pihak Ambulans yang turut berada di lokasi manakala kelindan tiada mengalami sebarang kecederaan.



Ops Hari Raya Aidilfitri, peningkatan panggilan kecemasan terutama kemalangan jalan raya- KP BBomba
-utusanonline-
Katanya, operasi itu bermula dua minggu sebelum raya dan akan berakhir hari ini melibatkan 1,648 panggilan kebakaran, penyelamatan (1,828 kes) dan kemalangan jalan raya (245 kes).
“Kemalangan jalan raya kali ini menyaksikan peningkatan tinggi iaitu 57 peratus berbanding 156 kes tahun lalu.
“Mangsa maut juga meningkat 14 peratus kepada 24 orang berbanding 21 orang tahun lalu manakala kecederaan menyaksikan 298 orang berbanding 229 pada 2017,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Lawatan Kerja Rasmi pertamanya ke negeri-negeri selepas dilantik pada 11 Jun lalu di Padang Kawad, Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya, di sini sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengarah Bomba Sarawak, Nor Hisham Mohamad, Timbalan Pengarahnya, Mohd. Zaki Omar dan Penolong Pengarah Operasi, Tiong Ling Hii.
Mengulas lanjut, beliau berkata, panggilan kebakaran pula menyaksikan penurunan memperlihatkan kempen pencegahan kebakaran terhadap premis yang dibuat sebelum ini adalah efektif berbanding kemalangan jalan raya yang berada diluar kawalan pihaknya.
“Kita melihat banyak kes kemalangan jalan melibatkan kenderaan berat yang menjadi fenomena cukup mencabar kepada bomba.
“Kita dalam proses membentuk pasukan penyelamat hiper (hyper rescue) yang mempungai kepakaran khas dengan jentera berat berkaitan contohnya perlanggaran melibatkan kereta api, trak, lori, bas dan lain-lain seperti kemalangan berlaku di Lebuh Raya Karak baru-baru ini,” jelasnya.
Beliau berkata, hiper ambulans juga sedang difikirkan untuk dibentuk bagaimanapun ianya melibatkan perbelanjaan dan perolehan peralatan baharu.
Dalam pada itu, Mohammad Hamdan memberitahu, pihaknya juga akan berbincang bersama JBPM Sarawak dan Sabah untuk mencari formula baharu menangani kebakaran khususnya di kawasan pedalaman melibatkan rumah panjang agar dapat memberi perlindungan keselamatan kebombaan yang cukup efisien. - UTUSAN ONLINE
10% DISKAUN DENGAN PEMBAYARAN SAMAN DI POS MALAYSIA:

Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM)  dengan kerjasama POS Malaysia sedang mengadakan promosi 10% diskaun bagi pembayaran kompaun saman trafik PDRM bermula 22 Mei hingga 13 Julai 2018.

Anda boleh hadir di mana-mana kaunter POS Malaysia untuk membuat semakan dan pembayaran saman.

*Pemberian diskaun adalah bagi saman yang TERTENTU SAHAJA
TERKINI: MAHKAMAH Persekutuan hari ini telah menolak permohonan Petronas memohon deklarasi mengenai hak gas dan minyak di Sarawak.

Peguam Sarawak Datuk JC Fong berkata, Sarawak berharap Petronas akan terus berkerja sama dengan Sarawak dengan mengikut undang-undang Sarawak.

Tindakan Petronas yang beroperasi di Sarawak tanpa mahu akur dengan undang-undang Sarawak yang telah menyebabkan isu ini dibawa ke mahkamah.

"Kita hanya mahu Petronas akur dan mengikuti undang-undang di Sarawak. Kita juga tidak mahu mengimplmentasikan undang-undang sehingga menyusahkan mana-mana pihak."

Ini telah dijelaskan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg, katanya lagi.

#iamSarawakian

Thursday, June 21, 2018

KEPUTUSAN MAHKAMAN PERIHAL KES PETRONAS VS KERAJAAN SARAWAK AKAN DIKETAHUI ESOK 22 JUN 2018, 9.30 PAGI.

Perdebatan panjang telah diadakan di Mahkamah Persekutuan pada pagi ini yang membariskan peguam-peguam kedua-dua belah pihak. Barisan peguam Sarawak tampil dengan penuh keyakinan bahawasanya tindakan Petronas membawa usul ini ke Mahkamah Persekutuan adalah salah yang mana ianya seharus didengar di Mahkamah Sarawak.

Bidasan demi bidasan dari peguam Petronas pula menyatakan bahawa Mahkamah di Sarawak mahupun Sabah langsung tidak berkemampuan untuk menyelesaikan kes ini. Hakikatnya terlalu cetek dan sedikit hujah pihak Petronas yang hanya berhujah berulang-ulang akan hal yang sama.

Setelah hampir satu jam berdebah, Tuan Hakim mengusulkan untuk keputusan Petronas vs Sarawak akan dibuat esok hari, 22hb Jun 2018 di Mahkamah Putrajaya jam 9.30 pagi.

KUCHING: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin sebentar tadi telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Ia pertama kali bagi Zuraida menjejakkan kaki ke Sarawak selepas pengharaman masuk sejak Pilihan Raya Negeri lalu.
Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, diiringi oleh Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan beberapa Ahli Parlimen PKR seperti Ali Biju, Willie Mongin dan Larry Sng.
Turut hadir See Che How, Adun Batu Lintang.
Pertemuan berlangsung selama 45 minit dalam suasana mesra dan muhibbah.

-Sarawak Voice-

Saturday, June 2, 2018

Harga rokok kekal walaupun GST pada kadar sifar. - Kementerian Kewangan

SHAH ALAM - Kerajaan menetapkan supaya harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok dikekalkan walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar bermula semalam.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan media hari ini berkata, kerajaan berpendirian dan menegaskan bahawa harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok tidak boleh diturunkan.

“Ini kerana ia merupakan produk yang membahayakan kesihatan.

“Sebarang penurunan harga jualan runcit akan dianggap sebagai suatu bentuk promosi secara tidak langsung serta bertentangan dengan Peraturan 5A, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata, pengekalan harga jualan runcit hasil tembakau termasuk rokok juga adalah selaras dengan komitmen antarabangsa di bawah Artikel 6, World Health Organisation Framework Convention on Tobacco Control yang telah mengiktiraf langkah percukaian dan mekanisme kawalan harga adalah berkesan dalam menurunkan permintaan terhadap hasil tembakau.

Harga minimum rokok ditetapkan RM9 untuk 20 batang pada 1 Ogos 2015 dan dinaikkan lagi RM10 pada 1 Ogos 2016. Dengan harga itu bermakna tiada rokok yang boleh dijual di bawah harga berkenaan.

Mana-mana individu didapati tidak mematuhi harga minimum rokok mengikut Peraturan 8A (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - Sinar Harian