Monday, July 23, 2018

Tiga parah ditetak dalam kes rompakan di stesen minyak

MIRI: Dua pekerja wanita di sebuah stesen minyak di Senadin, dekat sini, mengalami cedera parah di bahagian belakang badan dan belakang belakang, selepas ditetak oleh seorang lelaki yang bersenjatakan sebilah parang panjang.
Turut cedera dalam kejadian tersebut ialah seorang awam, dipercayai ayah kepada seorang pekerja wanita terbabit, yang sedang menunggu anaknya habis bertugas.
Dalam kejadian yang berlaku jam 6.52 petang kelmarin berdasarkan catatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kedua-dua pekerja terbabit sedang duduk di kaunter pembayaran, apabila perompak masuk dan berdiri tidak jauh daripada kedua-dua mereka, sebelum mengeluarkan sebilah parang panjang lalu bertindak nekad menetak kedua-dua mangsa, yang dalam keadaan tidak bersedia.

Salah seorang mangsa berjaya berlari keluar dari stesen minyak berkenaan untuk mendapatkan ayahnya, sambil dikejar oleh perompak terbabit.
Di luar kaunter stesen berkenaan, suspek masih menyerang mangsa dan turut menetak ayah mangsa, yang mengenai bahagian mukanya.
Menurut sumber terdekat, perompak terbabit hanya memakai topi sahaja, sempat kembali semula ke dalam stesen minyak dan melarikan sejumlah wang dari kaunter mesin, namun belum dapat dipastikan jumlahnya,  Kedua-dua pekerja wanita terbabit, Nurul Balqis Hardi, 19 dan Robis William, 23 serta ayah Nurul, Hardi Mohd Muli, 48, dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan, sementara perompak berkenaan berjaya diberkas dengan bantuan orang awam, malam tadi, sebelum diserahkan kepada pihak polis. - Utusan Borneo Online

Saturday, July 21, 2018

TOKYO: Yoshiyuki Yoshida dilaporkan bergurau atau cuba melakukan “prank” dengan menembak udara tekanan tinggi ke bahagian dubur atau anus rakannya Akio Ishimaru.

Namun, gurauan atau “prank” melampau Yoshida itu akhirnya membunuh rakannya.
Laporan polis menyebut, Yoshida dan Ishimaru bekerja di kilang pembuatan alatan industri di Ibaraki.
Ketika rehat pada 13 Julai itu, Yoshida bergurau dengan menusuk pemampat udara ke punggung Ishimaru, 46.
Beberapa minit selepas gurauan itu, Ishimaru mengadu rasa tidak sihat dan dia kemudian jatuh pengsan.

Rakan lain memanggil ambulans, tetapi Ishimaru disahkan meninggal di hospital.
Memetik RT pada Selasa lepas juruakap polis berkata, “pelepasan udara ke dalam tubuh mungkin merosakkan paru-paru, menyebabkan kematian mangsa.”
Yoshida mengaku dia hanya cuba bergurau dengan Ishimaru, tetapi tidak berniat membunuhnya.
“Saya tidak fikir dia akan mati,” kesali Yoshida.
Mac lalu, seorang pekerja kilang di India turut terbunuh akibat berlaku kerosakan organ dalaman dan pendarahan selepas rakan-rakannya melakukan gurauan dengan cara yang sama dilakukan Yoshida. –Sarawakvoice

Tuesday, July 10, 2018

MAKASSAR: Nenek bernama Ria Daeng Cahya, 54, ditemui mati di rumahnya di BTN Zarindah Permai, Kejiranan Borong Raukang, Kampung Samata, Somba Opu, Kabupaten Gowa.

Berdasarkan siasatan polis, nenek tersebut, Daeng Cahya meninggal selepas berselingkuh dengan pemandu ojek (motosikal sewa) online dikenali sebagai MA berusia sekitar 35 tahun.
Sumber menyebut, kedua-dua mereka bertemu di rumah mangsa pada waktu petang.
Ketika berlaku hubungan intim, mangsa dikatakan sesak nafas.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Bhayangkara dan meninggal di situ.
Mayat mangsa dilaporkan dikembalikan ke rumahnya.
Manakala, pemandu ojek bernama MA ditangkap untuk siasatan lanjut dan mengelak menjadi mangsa amukan saudara-mara mangsa.
Tribun-Timur.com pada Sabtu lepas melaporkan riwayat penyakit asma diduga menjadi penyebab kematian nenek tersebut.
Menurut portal tersebut Daeng Cahya dikatakan masih mempunyai suami dan anak di Bantaeng dengan hubungan bersama suaminya sedang renggang.
Begitu juga dengan hubungan pemandu ojek bernama MA dengan isterinya turut renggang. –Sarawakvoice

Sunday, July 8, 2018

Puteri Balqis Disahkan Hidap Kanser

Berita yang amat mengejutkan buat peminat pelakon cilik, Puteri Balqis yang dikhabarkan sah menghidap penyakit kanser. Berita tersebut disampaikan oleh ibunya, Norashikin Mohd Aziz tanpa menjelaskan secara terperinci jenis barah yang menyerang anaknya.

“Saya minta maaf, buat masa ini saya tak mahu membuat sebarang temu bual. Demamnya masih tak berhenti. Jantung dan paru-parunya mempunyai masalah. Apa pun dia semakin kuat,” jelasnya kepada Berita Harian Online.
Sebelum ini Balqis yang pernah terlantar sakit dikatakan menghadapi masalah jantung. Namun keadaan Balqis mula menjadi tanda tanya apabila beberapa hari lalu beliau memuat naik gambar berserta dengan hashtag #fightcancer.

Perkongsian yang dipercayai dimuat naik oleh oleh ibu bapanya, menceritakan Balqis yang baru saja menjalani rawatan dan memaparkan beliau memakai topeng muka, namun kelihatan tetap ceria tersenyum.
Pun begitu, Norashikin menjelaskan, keadaan anaknya kini bertambah baik dan semangat Balqis yang kuat melawan penderitaan penyakit yang dihadapinya. Semoga adik Balqis diberikan kekuatan untuk terus melawan dugaan besar ini. (rtky/w)

Thursday, July 5, 2018

KUALA LUMPUR:Dua puluh tiga projek ‘sakit’ yang masih gagal menepati tempoh siap ditetapkan bakal menerima nasib sama seperti Hospital Petra Jaya di Sarawak yang ditamatkan kontrak pembinaannya, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. 

Katanya tindakan tegas itu perlu dalam memberikan amaran kepada kontraktor dan pemaju projek pembinaan tersebut yang dilihat bersikap sambil lewa dalam menyiapkan kemudahan penting itu.
“Mana-mana projek ini yang sangat sakit (sangat lewat) setelah diberikan empat kali amaran kita akan ambil tindakan sama seperti di Petra Jaya.
“Saya akan turun padang dan melihat sendiri serta berjumpa dengan pemaju…jika masih gagal kami akan serahkan projek ini kepada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu forum mengenai kesihatan anjuran Institut Strategi & Kepimpinan Asia (ASLI) di sini, hari ini.
Kementerian Kesihatan sebelum ini dilaporkan berkata akan memantau sekurang-kurangnya 23 projek pembinaan hospital dan klinik di seluruh negara yang diklasifikasikan sebagai ‘sakit’ atau ‘merah’ yang mengalami kelewatan dalam pembinaan.–BERNAMA

Sunday, July 1, 2018

BAU: Setelah lebih 55 tahun menubuhkan Malaysia, Sarawak akan mula menguatkuasakan undang-undang Ordinan Perlombongan Minyak 1958 hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan undang-undang itu akan diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.
“Mulai esok hari, 1 Julai (hari ini), kita akan menguatkuasakan peruntukan undang-undang kita iaitu Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) dan Kanun Tanah Sarawak.
“Syarikat-syarikat yang terlibat dalam industri minyak dan gas, akan mula memberikan maklumat mereka dan juga mereka dikehendaki untuk mendapatkan lesen untuk menjalankan industri itu di Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Gawai Dayak Redeems di Singai dekat sini malam tadi.
Tegasnya, pelaksanaan OMO adalah salah satu daripada pengembalian hak Sarawak yang terhakis dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Syarikat petroleum milik Kerajaan Negeri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebelum ini telah diamanahkan untuk menguatkuasakan pentadbiran itu.
“Ia telah bersedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab baharu tersebut,” jelasnya.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari menegaskan, penguatkuasaan undang-undang dan peraturan ini bermakna Petronas dan semua syarikat lain yang menjalankan aktiviti berkaitan petroleum dan gas di negeri Sarawak perlu mendapatkan lesen dan permit pada kadar segera atau dikenakan tindakan.
Petronas sebelum ini mencabar OMO dengan melakukan semakan status eksklusifnya dalam Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.
Bagaimanapun permohonan mereka ditolak Mahkamah Persekutuan dengan kos RM50,000, kerana memfailkan prosiding di mahkamah yang salah.
Kes sepatutnya didengari di Mahkamah Tinggi.
Lebih 5,000 komuniti Bidayuh dari kawasan Bau dan Lundu hadir ke majlis tersebut.
Turut hadir Pengerusi Pengelola, Datuk Peter Nansian Ngusie dan Adun Tasik Biru, Datuk Herry Harry Jinep. –Sarawakvoice